flauting background

Saturday, October 2, 2010

Saat menilai cinta



  SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.
 Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
 Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
 Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.
Artikel diatas ana ambil melalui akhbar kosmo..... em,ianya hanya sekadar makluman buat kita...."usah dituruti reaksi emosi...lantaran apa yang diaplikasi tak seindah yang diimpi,,"

AMALKAN BUDAYA NASIHAT


Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud:'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

penyejuk hati